Usaha-usaha memelihara keindahan alam sekitar


Soalan: Isu pencemaran alam sekitar merupakan isu lapuk yang kian membimbangkan masyarakat dan negara. Jelaskan usaha-usaha anda untuk memelihara keindahan alam sekitar daripada terus tercemar.


    "Kebersihan itu dapat mengajak manusia kepada iman. Sedang iman itu akan bersama-sama pemiliknya ke syurga." Demikianlah sabda Rasulullah S.A.W. tentang betapa pentingnya kebersihan itu diberi perhatian yang serius dan saksama kerana impaknya sangat besar kepada pengukuhan akidah seseorang. Hamka, iaitu seorang sasterawan Indonesia, ulama dan juga aktivis politik juga pernah menegaskan bahawa "Agama tidak melarang sesuatu perbuatan jika perbuatan itu tidak merosakkan jiwa. Agama tidak akan menyuruh jika suruhan tersebut tidak membawa selamat dan bahagia jiwa." Jadi, jelaslah bahawa suruhan agama tentang kebersihan memang akan memberikan kebaikan serta faedah kepada diri kita. Agama Islam juga menganggap bahawa kebersihan itu merupakan sebahagian daripada keimanan. Perkara inilah yang perlu menjadi asas terpenting yang mesti tersemai dan tertanam dalam sanubari dan atma seseorang insan. Namun demikian, yang sebenarnya berlaku adalah bertentangan dengan kehendak kita sebagai manusia. Segala khazanah alam peninggalan nenek moyang dahulu kala kini musnah dan hancur dek tangan-tangan durjana yang rakus memugar keindahan alam demi kepentingan peribadi. Demi pembangunan negara yang pesat dalam meniti arus globalisasi dan medenisasi ini, pengurusan sumber semula jadi tidak lagi dititikberatkan dan dihiraukan. Penerokaan tanah secara berleluasa, pelepasan gas karbon ke atmosfera dan pembuangan sisa pepejal ke dalam sungai merupakan salah satu contoh pengurusan sumber yang telah diabaikan dan menjadi antara faktor perdana isu pencemaran alam sekitar yang kian membimbangkan buakan sahaja di Malaysia malahan di seantero dunia. Oleh itu, saya sebagai seorang insan yang turut merangkap khalifah di bumi ini sewajarnya mencari jalan penyelesaian kepada isu lapuk ini bagi memelihara keindahan alam sekitar daripada terus tercemar.

    Salah satu langkah yang boleh saya lakukan bagi mengekalkan keindahan alam sekitar daripada pencemaran adalah dengan mengamalkan amalan 3R iaitu 'Reduce, Reuse, Recycle' dalam kehidupan seharian. Reduce atau pengurangan boleh saya amalkan dalam penggunaan bahan-bahan yang boleh mencemarkan alam seperti plastik dan polistirena. Pengunaan bahan-bahan ini memeng patut saya kurangkan kerana ia bukan sahaja mencemarkan alam malahan juga turut memakan masa yang lama untuk dilupuskan. Bahan-bahan ini juga akan membebaskan banyak bahan kimia yang berbahaya kepada kesihatan sekiranya ia dibakar bagi melupuskannya. Reuse atau guna semula pula melibatkan penggunaan semula barangan terpakai yang masih elok dan mengelakkannya daripada dibuang begitu sahaja seperti sampah. sebagai contoh, saya boleh mengguna semula baju-baju dan barangan kakak dan abang saya yang masih elok. Hal ini bukan sahaja dapat mengelakkan pembuangan barangan yang masih berkualiti tetapi juga dapat menjimatkan kos perbelanjaan keluarga persis sambil berdiang, nasi masak. Selain itu, tayar terpakai dan botol plastik juga boleh diguna semula selain dibuang sebagai sampah sarap. Tayar dan botol tersebut boleh saya jadikan sebagai pasu bagi menanam pokok bunga di sekitar kawasan rumah. Tayar juga boleh dijadikan sebagai buaian dan permainan kepada kanak-kanak dan para remaja yang masih setahun jagung. Recycle atau kitar semula pula melibatkan aktiviti mengitar semula barangan menjadi suatu barangan yang baru seperti surat khabar dan tin. Misalnya, saya boleh mengumpulkan barang-barang yang boleh dikitar semula lalu menghantarnya ke pusat kitar semula bagi menghasilkan barangan baru hasil barangan-barangan tersebut. Jadi, amalan 3R ini akan mengurangkan kuantiti sampah yang dibuang di samping memelihara sumber alam yang terhad penawarannya. Bumi yang sudah menjadi tapak lambakan sampah sarap juga perlahan-lahan dapat mangatasi masalah pencemaran alam yang dihadapinya walaupun hanya segelintir orang seperti saya yang mengamalkan amalan murni ini. Oleh itu, jelaslah bahawa lama-kelamaan masalah pencemaran alam sedikit sebanyak dapat diatasi dengan mengamalkan amalan 3R dalam kehidupan seharian saya.

    Selain itu, saya juga boleh menggunakan laman sosial sebagai medium bagi melahirkan kesedaran tentang masalah pencemaran alam sekitar yang semakin teruk saban hari dalam diri ahli masyarakat yang lain bagi menyelesaikan kes yang sudah lama ditelan zaman ini. Mengikut statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Malaysia telah mengatasi beberapa buah negara maju dari segi pemilikan telefon selular dengan mencatatkan penggunaan 119.2 telefon bimbit bagi setiap 100 orang penduduk. Hal ini berlaku kerana telefon bimbit adalah kemudahan era moden dalam masyarakat kita. Ditambah pula dengan kemudahan rangkaian internet yang mempunyai jaringan seluruh dunia menjadikan segala maklumat dapat tersebar secara meluas dan berkesan. Oleh yang demikian, penggunaan laman sosial dalam menyampaikan kesedaran dalam diri marhaen di negara kita akan menjadi sangat berkesan. Tamsilnya, saya boleh memuat naik status atau blog tentang pencemaran alam sekitar bagi mewujudkan kesedaran dalam diri individu-individu lain. Saya juga boleh memuatnaikkan gambar-gambar pencemaran yang berlaku di sekitar kawasan penempatan saya supaya insan-insan lain turut peka terhadap pencemaran yang berlaku di sekeliling mereka. Bukan itu sahaja, saya juga boleh menghasilkan pelbagai video lalu memuatnaikkannya ke laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Youtube bagi meningkatkan kesedaran rakyat tentang pencemaran yang berlaku di dalam negara. Langkah-langkah ini juga turut dapat dilakukan dengan menunjukkan, menerangkan dan menghuraikan cara-cara bagi mengatasi kes pencemaran-pencemaran yang berlaku di kawasan sekitar. Kaedah ini dijamin dapat menimbulkan kesedaran dalam diri masyarakat di samping peka terhadap persekitaran terutamanya bagi mereka yang tidak lepas tangan daripada kesibukan di alam maya. Jadi, jelaslah bahawa pencemaran alam sekitar yang kian meruncing dapat saya kurangkan dengan menyebarkan kesedaran menerusi laman sosial bukan sahaja kepada rakyat di negara ini tetapi juga kepada semua rakyat di seluruh pelosok dunia.

    Di samping itu, saya juga boleh mengamalkan amalan dan hobi menanam pokok-pokok di sekitar kawasan rumah supaya pencemaran alam sekitar yang masih membimbangkan masyarakat dan negara dapat dikurangkan. Pokok atau flora menjalankan fotosintesis yang menggunakan karbon diosida bagi menghasilkan makanan dan oksigen. Oksigen yang dihasilkan akan dapat digunakan oleh manusia dan fauna. Karbon diosida pula akan dikeluarkan daripada manusia dan fauna setelah proses respirasi dijalankan. Fenomena alam ini akan terus berputar di antara tumbuhan dengan manusia dan binatang yang dinamakan kitaran karbon. Namun begitu, menurut kajian, kadar pemusnahan hutan tropika dianggarkan sebanyak 20 juta hektar setahun. Hal ini telah mengurangkan sejumlah pokok yang banyak di hutan. Hutan rimba juga merupakan suatu takungan karbon yang terbesar. Dianggarkan 500-700 bilion metrik ton karbon terkandung di dalam hutan. Oleh itu, melalui penebangan, pembersihan dan pembakaran hutan demi keperluan pembangunan negara yang dijalankan oleh manusia, kandungan karbon yang tersimpan dalam biojisim akan terlepas ke atmosfera dalam bentuk gas karbon diosida yang akan merumitkan lagi keadaan pencemaran sedia ada. Kesan ini bukan hanya menyumbang kepada pencemaran alam sekitar tetapi juga turut meninggikan suhu kawasan setempat. Oleh itu, saya akan cuba membantu untuk mengurangkan masalah ini dengan menanam pokok-pokok di kawasan rumah saya. Walaupun langkah ini kelihatan sedikit dan kurang membantu namun, saya yakin prakarsa ini akan memberi kesan yang positif dalam suatu jangka masa yang panjang. Misalnya, saya akan menanam pokok-pokok bunga dan pokok-pokok hiasan seperti pokok bunga kertas, pokok bunga raya danpokok teh di sekeliling laman rumah saya. Penanaman flora ini dapat membantu dari segi menambahkan kuantiti oksigen yang terdapat di dalam udara dan menurunkan kadar karbon diosida di kewasan sekitar. Hal ini akan menyebabkan penurunan kadar pencemaran alam sekitar terutamanya pencemaran udara walaupun dalam kadar yang sangat perlahan. Langkah ini juga bagai serampang dua mata kerana turut dapat mencantikkan lagi kawasan di sekitarnya. Jadi, jelaslah bahawa amalan saya menanam pokok-pokok di kawasan rumah memang dapat membantu mengurangkan kadar pencemaran yang berlaku di negara kita.

    Bukan itu sahaja, bagi mengurangkan masalah pencemaran alam sekitar ini, saya juga boleh mempraktikkan tenaga lestari dan teknologi hijau dalam kehidupan saya. Teknologi hijau ialah pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memulihara alam sekitar dan sumber semula jadi serta meminimumkan kesan negatif daripada aktiviti manusia. Teknologi hijau juga merujuk kepada produk, peralatan atau sistem yang memenuhi kriteria seperti meminimumkan degradasi kualiti persekitaran, mempunyai pembebasan gas rumah hijau yang rendah atau sifat selamat untuk digunakan dan menyadiakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan, menjimatkan tenaga dan sumber asli dan menggalakkan sumber yang dapat diperbaharui. Teknologi ini telah terbukti lebih cekap dan berkesan kerana dapat menjanakan tenaga dalam pelbagai keadaan dengan kos yang murah, selamat dan mesra pengguna. Tamsilnya, saya boleh menggunakan kereta berenjin hibrid dan pendingin hawa jimat tenaga yang sedang dan masih menjadi buah mulut dan percakapan ornag ramai tentang kebaikan dan faedah yang bakal diperoleh. Penggunaan teknologi hijau ini dapat membantu usaha memulihara dan meminimumkan impak buruk kepada alam sekitar di samping meningkatkan keselesaan dan kesihatan penghuni bandar, meningkatkan kualiti hidup dan mengurangkan masalah infrastruktur tempatan. Hal ini persis kata-kata orang zaman bahari, sambil menyelam minum air kerana pelbagai manfaat yang diperoleh daripada penggunaan teknologi ini. Jelaslah bahawa teknologi hijau dapat menjadi portfolio atau medium yang strategik untuk saya menangani isu alam sekitar, bukan hanya untuk mencapai autonomi tenaga dan perubahan cuaca semata-mata.

    Kesimpulannya, terdapat pelbagai langkah yang boleh saya lakukan dalam menangani masalah pencemaran alam sekitar yang terdiri daripada pencemaran air, udara dan tanah. Usaha-usaha tersebut perlu sentiasa saya lakukan dalam kehidupan seharian dan bukan sahaja hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam. Saya juga seharusnya sedar dan sangat maklum bahawa penjagaan alam sekitar merupakan amanah dan tanggungjawab semua pihak dan bukannya hanya pihak yang wewenang semata-mata. Janganlah sudah terhantuk baru hendak tengadah kerana sekiranya nasi telah menjadi bubur, maka semuanya akan tinggal warisan yang pahit untuk generasi masa depan padahal saya tidak mewarisi keindahan dan kebersihan alam ini daripada nenek moyang, tetapi saya meminjamnya daripada generasi pada masa akan datang. Jika saya telah menyedari kesilapan saya selama ini, sewajarnya sikap lampau perlu dibetulkan dan dibaiki. Hal ini demikian kerana Confucius iaitu seorang ahli falsafah Cina pernah menegaskan bahawa, "Seseorang yang melakukan kesalahan dan tidak membetulkannya telah melakukan satu kesalahan lagi." Oleh itu, saya mesti membetulkan semula segala perilaku lalu yang menganaktirikan alam sekitar demi kepentingan peribadi dengan segala langkah yang telah disenaraikan.

Ulasan

  1. Setuju dengan pendapat anda......Berbagi artikel tentang Sawah Padi Longji di Guilin, China di http://stenote-berkata.blogspot.com/2017/12/sawah-padi-di-longji.html
    Lihat juga video di youtube https://youtu.be/-FEADXHsiSM

    BalasPadam
  2. Bagus lah tpi terlalu panjang susah saya nak ringkaskan

    BalasPadam

Catat Ulasan